KUALA LUMPUR: Sejumlah 800 penuntut Universiti Malaya mula mendaftar pada hari pertama Pendaftaran Pelajar secara fizikal yang berlangsung hari ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Profesor Sabri Musa, sesi pendaftaran kolej kediaman norma baharu pada sesi akademik kali ini berlangsung secara fizikal selama tiga hari sehingga 17 Oktober ini melibatkan pelajar dari semua tahun pengajian. 

Antara penuntut UM yang mendaftar semasa hari pertama.

“Jumlah keseluruhan pelajar yang memohon kebenaran kembali ke kampus adalah 9,426 orang dan daripada jumlah ini, 7,035 pelajar akan mendaftar di kolej kediaman dan daripada jumlah tersebut, hampir 4,000 pelajar adalah pelajar baharu ijazah sarjana muda sesi kemasukan 2021/2022.

“Semua pelajar diwajibkan hadir ke Point of Assembly (P.O.A) bagi menjalani proses saringan kesihatan dan lapor diri sebelum memasuki kolej kediaman yang telah ditawarkan.

“Tiga P.O.A telah ditetapkan iaitu di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Dewan Tunku Canselor dan Padang Palapes. Sesi pendaftaran pelajar buat masa ini berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penuntut diminta membuat saringan kendiri COVID-19 sebelum memasuki kolej kediaman.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak universiti telah menetapkan hanya pelajar bersama dua orang ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap dos vaksin COVID-19 dibenarkan untuk hadir ke universiti.

Malah jelasnya, pelajar yang mendaftar perlu menjalani ujian kendiri COVID-19 menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 yang dibekalkan di P.O.A.

Beliau pada masa sama berharap pelajar yang telah kembali ke kolej kediaman terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19 di kampus. 

Terdapat 3 P.O.A dibuka bagi melancarkan proses saringan dan pendaftaran.